Alam Sekitar

Alam Sekitar
Keindahan Alam Sekitar

2010年4月25日 星期日

Harapan terhadap industri tenaga diperbaharui


sumber tenaga angin sesuai bagi kawasan yang berangin
seperti di tepi laut Pantai Timur Semenanjung Malaysia.


Harga minyak mentah dunia yang melambung dan tidak stabil sememangnya menjadi beban kepada orang ramai kerana ia memberi kesan besar kepada kos penjanaan tenaga elektrik, selain daripada sektor pengangkutan.

Ini kerana sejak sekian lama, selain daripada menggunakan tenaga hidro, minyak digunakan dengan meluas untuk menggerakkan pusat-pusat penjana elektrik di seluruh dunia.
Bagi melegakan pembekal bekalan elektrik, banyak negara kini mula beralih mencari sumber tenaga alternatif atau tenaga yang boleh diperbaharui untuk menggerakkan turbin-turbin di pusat janakuasa elektrik mereka.
Sememangnya, masih banyak tenaga alternatif dan boleh diperbaharui yang boleh digunakan seperti tenaga nuklear, air, biomas, angin, suria dan juga hidrogen.
Bukan sahaja ia murah tetapi tenaga yang dihasilkan daripada bahan alternatif ini lebih bersih dan mesra alam, memandangkan ia boleh diperbaharui dengan mudah.
Bagaimanapun antara tenaga yang diperbaharui, tenaga hidro (air) antara yang paling banyak dibangunkan termasuk di negara kita.
Bagaimanapun, untuk membangunkan pusat janakuasa berasaskan hidro, kita terpaksa mengorbankan sejumlah kawasan yang besar untuk menakung air dan ia pula seharusnya berada di kawasan yang terdapat air terjun.
Kini timbul pula teknologi menggunakan pergerakan arus pasang surut air laut untuk dijadikan penggerak kepada sumber tenaga elektrik yang baru. Bagaimanapun, teknologi ini masih baru.
Di negara ini, ramai yang semakin memberi perhatian untuk memajukan biomas sebagai sumber tenaga kerana Malaysia mempunyai sumber yang banyak ia menggunakan sumber sisa tumbuhan atau batang kayu.
Sisa buangan bahan daripada pokok sawit seperti tandan, gentian dan sebagainya misalnya boleh digunakan untuk menghasilkan bahan bakar yang baik.
Konsep ini hampir sama dengan bahan api fosil seperti arang batu yang digunakan sebagai bahan bakar untuk sesetengah pusat janakuasa elektrik.
Nuklear pula walaupun dikira boleh menjadi sumber tenaga yang baik tetapi perlu mengambil kira mengenai isu keselamatan.
Biarpun ia tidak melibatkan pembebasan karbon dioksida tetapi ramai yang bimbang mengenai masalah sisa pembuangan bahan radioaktif.
Pengarah dan Pengasas Institut Bahan Api Sel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Wan. Ramli Wan Daud berkata, bahan api fosil bukan saja tidak boleh diperbaharui tetapi juga menyumbang peningkatan gas rumah hijau.
“Tenaga alternatif yang boleh diperbaharui masih menyumbang kepada gas rumah hijau tetapi kesannya masih kurang,” katanya selepas Forum Inovasi Teknologi Bisnes di Taman Teknologi Malaysia, dekat sini, baru-baru ini.
Pelan strategik
Beliau menambah, bagi mengatasi krisis tenaga, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) telah mengenal pasti beberapa pelan strategik melibatkan pembangunan tenaga mapan.
Ia dilaksanakan menerusi bekalan kos efektif, mengurangkan pencemaran udara yang terhasil daripada pengangkutan dan industri gas asli dan kuasa elektrik menggunakan teknologi arang yang bersih.
Selain itu, penggunaan tenaga secara cekap, mempromosikan kecekapan kuasa dan memperkenalkan tenaga boleh diperbaharui sebagai bahan api alternatif.
Wan Ramli berkata, pada 2001, tenaga diperbaharui diletakkan pada tempat ke lima selepas minyak, arang batu, gas dan tenaga hidro.
Campuran bahan bakar pada 2010 disasarkan kepada 40 peratus gas, 40 peratus arang batu, 10 peratus tenaga hidro dan 10 peratus tenaga diperbaharui.
Bagi jangka pendek, terdapat biomas daripada kelapa sawit dan biodiesel daripada minyak sawit, manakala jangka masa sederhana terdapat biomas, biodiesel dan tenaga suria.
Bagi jangka masa panjang pula, terdapat tenaga suria, hidrogen, bahan bakar sel dan nuklear.
Menyentuh mengenai biomas daripada kelapa sawit, Wan Ramli berkata, negara merupakan pengeluar utama minyak sawit dunia dengan keluasan tanaman 3.8 juta hektar.
“Kini biomas hasil ladang sawit telah digunakan bagi menjana kuasa elektrik di dalam kilang,” katanya.
Terdapat dua program utama biomas iaitu:
lProgram tenaga Diperbaharui skala kecil (SREP)
liomass-based Power Generation Program in the Malaysian Plan Oil Industry (BIOGEN) dengan kerjasama UNDP.
Ujarnya, program tenaga daripada biomas tidak mendapat sambutan menggalakkan kerana tarif yang ditawarkan adalah rendah 17 sen/kWh (kilowatt sejam) dan biomas sawit lebih mahal kerana bersaing dengan kegunaan lain seperti dalam pembuatan kusyen kereta, papan lapis dan makanan ternakan.
“Sejarah biodiesel bermula pada tahun 1980-an tetapi ia kurang mendapat perhatian daripada industri pengangkutan kerana tidak terdapat polisi yang jelas dari kerajaan dan harga minyak sawit yang semakin tinggi berbanding petroleum,” katanya.
Beliau menambah, biodiesel dilihat relevan digunakan jika harga bahan bakar fosil lebih tinggi berbanding minyak sawit.
Justeru pokok jarak atau jathopra diambil sebagai alternatif lain bagi menggantikan biomas daripada kelapa sawit.
“Pokok jarak dipilih kerana toksik dan tidak bersaing sebagai bahan makanan dan harganya rendah berbanding minyak sawit,” katanya.
Angin
Akan tetapi, permintaan terhadap tenaga yang semakin tinggi, menyebabkan negara merancang menggunakan tenaga angin sebagai alternatif.
Tenaga angin adalah sumber tenaga yang masih kurang dibangunkan di negara ini sebagai tenaga diperbaharui, berbanding di negara-negara maju.
Potensi tenaga angin dilihat di kawasan pantai timur semenanjung seperti kuala Terengganu dan Mersing dengan tiupan angin semasa monsun Timur Laut yang sentiasa bertiup kencang.
Selain itu, tenaga solar juga merupakan satu lagi tenaga alternatif yang digunakan dalam kilang-kilang terutama untuk tujuan pengeringan.
Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa mendapat cahaya matahari sepanjang tahun bagaimanapun cabaran terletak kepada kos photovoltaik yang mahal.
Tenaga hidrogen dan suria telah dikenalpasti sebagai tenaga diperbaharui alternatif kepada bahan api fosil.
Sel bahan bakar merupakan satu peralatan sesuai bagi mengubah menghasilkan hidrogen misalnya dalam pengangkutan.
Bagi membangunkan tenaga suria, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) ditubuhkan pada 2005 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggabungkan pelbagai fakulti dalam penyelidikan.
Institut Sel Bahan Bakar pula dibangunkan di UKM pada tahun lalu yang bertujuan membangunkan tenaga yang boleh diperbaharui.
Terkini, sel biofuel yang menghasilkan tenaga elektrik daripada bahan biologi dan menggunakan pemangkin biologi bagi mengubah tenaga kimia dalam bahan bakar biologi dan oksigen kepada tenaga elektrik dan air.
Sementara itu biohidrogen pula boleh dihasilkan oleh bakteria hasil tindakbalas biologi. Terdapat dua jenis proses bagi menghasilkan biohidrogen iaitu proses menggunakan cahaya dan proses tanpa cahaya.
Sememangnya, masih banyak sumber yang boleh digunakan untuk menjana bekalan elektrik di negara kita dan terpulang kepada para saintis untuk mengemukakan idea-idea bernas hasil kajian mereka.

0 意見: